|
Anda sering kekeringan
idea dalam mengajar kanak-kanak prasekolah? Buku ini membantu guru
memilih permainan, sama ada permainan dalam ataupun luar bangunan.
Setiap permainan disertakan dengan senarai keperluan, peraturan
permainan dan cara bermain. Terdapat juga permainan yang tidak
memerlukan alat bantuan tambahan sebagai alternatif kepada guru
apabila alatan sukan tidak mencukupi. Terdapat juga lagu tradisional,
nasyid, puisi dan teka teki.
Syukur Alhamdulillah dengan limpah kurnia-Nya dan keizinan-Nya dapat
saya menulis dan membuat kompilasi permainan dan nyanyian
kanak-kanak.
Idea kompilasi ini timbul apabila setiap kali saya hendak
menjalankan aktiviti permainan, saya terpaksa mencari pelbagai jenis
rujukan dan kadang kala saya kecewa kerana tiada bahan untuk dirujuk.
Justeru itu, setiap kali saya menjalankan aktiviti dengan
kanak-kanak saya akan mengambil gambar dan menuliskan bagaimana
aktiviti itu dilaksanakan supaya dapat dimuatkan di dalam buku ini
sebagai panduan kepada guru-guru lain.
Dengan adanya buku ini semoga dapat memudahkan guru-guru di
peringkat awal kanak-kanak sama ada di TASKA ataupun di prasekolah
membuat rujukan sebagai persediaan pengajaran harian kerana
permainan dan nyanyian adalah sebahagian daripada aktiviti yang
menyeronokkan dan menggembirakan pada kanak-kanak.
Mereka dapat belajar dengan berkesan apabila mereka berasa gembira.
Buku ini mengandungi beberapa bab.
Bab 1 hingga 4 menyentuh beberapa aspek berkenaan teori permainan,
permainan di dalam bangunan, di luar bangunan dan permainan
tradisional. Setiap permainan ini diterangkan tajuk, bahan, bilangan
pemain dan cara bermain. Ia dapat memudahkan guru memahami dan
seterusnya melaksanakan permainan itu.
Dalam bab 5 permainan tradisional pula diterangkan faedah yang
diperoleh daripada setiap permainan itu.
Buku ini sesuai dijadikan rujukan guru yang hendak menjalankan
aktiviti fizikal ataupun sukan sama ada di dalam ataupun luar kelas.
Terdapat permainan yang tidak perlu menggunakan alatan, di mana ia
boleh menjadi alternatif kepada guru apabila mereka tidak mempunyai
alatan sukan yang mencukupi.
Bab 6 hingga 9 mengandungi bahan nyanyian, puisi teka-teki dan
nasyid. Puisi, nyanyian, pantun dan teka-teki ini disusun
berdasarkan tema tertentu. Dengan cara ini ia dapat memudahkan guru
memilih lagu, pantun dan teka-teki berkaitan tema dan juga komponen
pengajaran yang sesuai.
Kaedah pendekatan pengajaran gabung jalin adalah satu kaedah
pengajaran yang praktikal. Ini bermakna, walaupun guru memilih
hendak mengajar nyanyian, puisi ataupun pantun dalam masa yang sama
juga guru boleh menggabungkan aktiviti pergerakan, tulisan dan
drama. Amalan ini dapat menarik minat kanak-kanak di samping
meningkatkan keberkesanan pengajaran.
Terdapat sebahagian daripada puisi, nyanyian dan pantun tradisional
yang dikumpulkan terdiri daripada puisi dan pantun lama warisan
nenek moyang kita. Ia dikumpulkan dan disusun semula supaya warisan
ini tidak hilang ditelan zaman. Bak kata pepatah, ‘Tak lapuk dek
hujan tak lekang dek panas’.
Permainan dan nyanyian yang terdapat dalam buku ini sesuai dimainkan
dan dinyanyikan bagi kumpulan umur kanak-kanak antara 4 hingga 10
tahun. Iaitu kanak-kanak yang berada di TASKA, prasekolah dan
sekolah rendah.
Kepada semua yang terlibat bagi menyempurnakan buku ini diucapkan
jutaan terima kasih terutamanya Zaiton Arshad di Jabatan Pendidikan
Petaling yang membuat kompilasi permainan tradisional, Norhayati
Haron yang membuat kompilasi nasyid dan Zalilah Hamdan yang membantu
mengumpulkan dan menyusun lagu, Aliah Aqilah terlibat dalam
mengumpulkan puisi dan teka-teki serta seluruh ahli keluarga.
Puan Nani Menon
Makmal Perkembangan Kanak-kanak
Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga
Fakulti Ekologi Manusia, UPM
Isi Kandungan
Prakata
Bahagian 1 :
Himpunan Permainan Moden dan Tradisional
Mengapa Perlu Bermain?
Permainan Luar Kelas
”Perigi racun”
“Lari keliling bulatan”
”Ibu ayam”
”Ikan di dalam jaring”
”Burung dan sangkar”
”Lembu kena kepong”
“Cuit berantai”
“Tangkap ekor”
”Main kejar-kejar”
Permainan Mengguna Alatan
”Susup gelung rotan berganti-ganti”
”Bola dan monyet”
Bowling
Main getah
Main Guli
Permainan Tradisional
“Congkak”
“Teng-Teng”
”Galah Panjang”
“Jan-jan Jala”
“Pukul Berapa Datuk Harimau”
“Pukul Lalat”
“Seremban”
”Tebang-tebang tebu”
”Rumah Terbakar”
“Konda-kondi”
”Sole”
”Tom-tom Bak”
“Sep-sep Tom-tom”
“Nenek-nenek Si Bongkok Tiga”
Bahagian 2:
Nyanyian
Permainan Jari
Lagu Rakyat
Lagu Permainan
Lagu Unsur Nasihat Dan Ucapan
Lagu Serantau
Lagu Bertema
Lagu Tradisional
Pantun dan Puisi Kanak-kanak
Nasyid Kanak-kanak
Teka-teki
“Cuba Teka Siapa Saya?”
Glosari 133
Rujukan 135
|